Daisypath Happy Birthday tickers

I made this widget at MyFlashFetish.com.

Thursday, March 3, 2016

‘Menolak’ Perlu Beradab

Perasaan kasih sayang itu sememangnya cukup indah. Apatah lagi jika ia dirasai oleh kedua-dua pihak. Bahagianya hati hanya Tuhan sahaja yang mengerti. Namun, bagaimana pula jika ia hanya bertepuk sebelah tangan dan anda berada di pihak yang tidak merasai kasih yang ingin dikongsikan bersama? Sedangkan si dia sanggup menunggu umpama menanti ‘bulan jatuh ke riba’. Benar, cinta tidak boleh dipaksa. Sebaik-baiknya atasilah dengan cara yang berhemah bukan benci atau hinaan. Dara.com ada sedikit tip berguna untuk kamu yang menghadapi situasi begini.

#Katakan tidak dengan baik
Jika benar hatimu tiada ruang untuknya, tolak sahaja dengan baik. Katakan kamu menganggapnya tidak lebih sebagai teman. Jelaskan bahawa ada baiknya jika kamu berkawan kerana lebih selesa begitu. Terangkan padanya bahawa cinta tidak boleh dipaksa. Biarkan ia hadir dengan sendirinya atau beri peluang kepada orang lain untuk melengkapi perasaan tersebut. Jika dia sering memberikan kamu hadiah, usah terima kerana jika tidak, kamu seolah-olah mengambil kesempatan terhadapnya. Jangan ambil kesempatan, okey!

#Jika si dia masih berkeras…
Jika si dia masih berkeras mahukan balasan cinta daripada kamu, mungkin kamu perlu cuba menjauhkan diri secara perlahan-lahan daripadanya. Jika dahulu kamu sering keluar sarapan atau makan tengah hari bersama atau berkumpulan, cuba kurangkan atau elakkan terus. Kurangkan berurusan dengannya melainkan jika ia benar-benar penting bagi mengelakkan sebarang harapan untuk dia terus mendekati kamu. Mungkin jika kamu luaskan pergaulanmu, dia akan faham bahawa kamu menganggap dirinya tidak lebih daripada teman biasa seperti teman-temanmu yang lain. Ops…bukan bermaksud bergaul bebas, ya!

#Elakkan berkata kesat atau menghina
Jangan sekali-kali meluahkan kata-kata kesat jika benar kamu tidak suka sekali pun. Apatah lagi menghina. Bukan sahaja boleh membuatkan hatinya terluka, malah boleh menimbulkan perasaan DENDAM yang membuak-buak atas ketelanjuran kamu itu. Oleh sebab itu ada pepatah mengatakan, kerana mulut badan binasa. Jaga akhlak dan tingkah laku kamu sebagai gadis Muslimah yang menjaga tutur katanya.

#Beri peluang
Tidak salah jika kamu beri peluang kepada dirinya untuk melengkapi hidupmu. Lebih-lebih lagi jika elok budi pekertinya serta taat kepada perintah Allah. Siapa tahu, dari kosong perasaanmu itu, hujung cerita dialah segala-galanya dan pembimbing yang terbaik untuk kamu. Ditambah pula dengan kesungguhan yang ditunjukkan tidak kenal erti putus asa walau apa pun respons yang kamu tunjukkan.

Sumber: Majalah Dara.com

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...