Daisypath Happy Birthday tickers

I made this widget at MyFlashFetish.com.

Wednesday, February 23, 2011

Titipan Buat Wanita


"Sebaik-baik wanita ialah yang tidak memandang dan tidak dipandang oleh lelaki."
alt
Aku tidak ingin dipandang cantik oleh lelaki. Biarlah aku hanya cantik di matamu. Apa gunanya aku menjadi perhatian lelaki andai murka Allah ada di situ.
Apalah gunanya aku menjadi idaman banyak lelaki sedangkan aku hanya bisa menjadi milikmu seorang.
Aku tidak merasa bangga menjadi rebutan lelaki bahkan aku merasa terhina diperlakukan sebegitu seolah-olah aku ini barang yang bisa dimiliki sesuka hati.
Aku juga tidak mau menjadi penyebab kejatuhan seorang lelaki yang dikecewakan lantaran terlalu mengharapkan sesuatu yang tidak dapat aku berikan.
Bagaimana akan kujawab di hadapan Allah kelak andai ditanya? Adakah itu sumbanganku kepada manusia selama hidup di muka bumi?
Kalau aku tidak ingin kau memandang perempuan lain, aku dululah yang perlu menundukkan pandanganku. Aku harus memperbaiki dan menghias peribadiku karena itulah yang dituntut oleh Allah.
Kalau aku ingin lelaki yang baik menjadi suamiku, aku juga perlu menjadi perempuan yang baik. Bukankah Allah telah menjanjikan perempuan yang baik itu untuk lelaki yang baik?
Tidak kunafikan sebagai remaja, aku memiliki perasaan untuk menyayangi dan disayangi. Namun setiap kali perasaan itu datang, setiap kali itulah aku mengingatkan diriku bahwa aku perlu menjaga perasaan itu karena ia semata-mata untukmu.
Allah telah memuliakan seorang lelaki yang bakal menjadi suamiku untuk menerima hati dan perasaanku yang suci. Bukan hati yang menjadi labuhan lelaki lain. Engkau berhak mendapat kasih yang tulen.
Diriku yang memang lemah ini telah diuji oleh Allah saat seorang lelaki ingin berkenalan denganku. Aku dengan tegas menolak, berbagai macam dalil aku kemukakan, tetapi dia tetap tidak berputus asa.
Aku merasa seolah-olah kehidupanku yang tenang ini telah dirampas dariku. Aku bertanya-tanya adakah aku berada di tebing kebinasaan? Aku beristigfar memohon ampunan-Nya. Aku juga berdoa agar Pemilik Segala Rasa Cinta melindungi diriku dari kejahatan.
Kehadirannya membuatku banyak memikirkan tentang dirimu. Kau kurasakan seolah-olah wujud bersamaku.
Di mana saja aku berada, akal sadarku membuat perhitungan denganmu. Aku tahu lelaki yang menggodaku itu bukan dirimu. Malah aku yakin pada gerak hatiku yang mengatakan lelaki itu bukan teman hidupku kelak.
Aku bukanlah seorang gadis yang cerewet dalam memilih pasangan hidup. Siapalah diriku untuk memilih permata sedangkan aku hanyalah sebutir pasir yang wujud di mana-mana.
Tetapi aku juga punya keinginan seperti wanita yang lain, dilamar lelaki yang bakal memimpinku ke arah tujuan yang satu.
Tidak perlu kau memiliki wajah setampan Nabi Yusuf Alaihisalam, juga harta seluas perbendaharaan Nabi Sulaiman Alaihisalam, atau kekuasaan seluas kerajaan Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wassalam, yang mampu mendebarkan hati jutaan gadis untuk membuat aku terpikat.
Andainya kaulah jodohku yang tertulis di Lauh Mahfuz, Allah pasti akan menanamkan rasa kasih dalam hatiku juga hatimu. Itu janji Allah.
Akan tetapi, selagi kita tidak diikat dengan ikatan yang sah, selagi itu jangan dibazirkan perasaan itu karena kita masih tidak mempunyai hak untuk membuat begitu.
Juga jangan melampaui batas yang telah Allah tetapkan. Aku takut perbuatan-perbuatan seperti itu akan memberi kesan yang tidak baik dalam kehidupan kita kelak.
Permintaanku tidak banyak. Cukuplah engkau menyerahkan seluruh dirimu pada mencari redha Illahi.
Aku akan merasa amat bernilai andai dapat menjadi tiang penyangga ataupun sandaran perjuanganmu.
Bahkan aku amat bersyukur pada Illahi kiranya akulah yang ditakdirkan meniup semangat juangmu, mengulurkan tanganku untukmu berpaut sewaktu rebah atau tersungkur di medan yang dijanjikan Allah dengan kemenangan atau syahid itu.
Akan kukeringkan darah dari lukamu dengan tanganku sendiri. Itu impianku. Aku pasti berendam airmata darah, andainya engkau menyerahkan seluruh cintamu kepadaku.
Cukuplah kau mencintai Allah dengan sepenuh hatimu karena dengan mencintai Allah, kau akan mencintaiku karena-Nya. Cinta itu lebih abadi daripada cinta biasa. Moga cinta itu juga yang akan mempertemukan kita kembali di syurga.
Seorang gadis yang membiarkan dirinya dikerumuni, didekati, diakrabi oleh lelaki yang bukan muhrimnya, cukuplah dengan itu hilang harga dirinya di hadapan Allah. Di hadapan Allah. Di hadapan Allah.
Yang dicari walau bukan putera raja, biarlah putera Agama.
Yang diimpi, biarlah tak punya rupa, asal sedap dipandang mata.
Yang dinilai, bukan sempurna sifat jasmani, asalkan sihat rohani dan hati.
Yang diharap, bukan jihad pada semangat, asal perjuangannya ada matlamat.
Yang datang, tak perlu rijal yang gemilang, kerana diri ini serikandi dengan silam yang kelam.
Yang dinanti, bukan lamaran dengan permata, cukuplah akad dan janji setia.
Dan yg akan terjadi, andai tak sama dgn kehendak hati, insyaAllah ku redha ketetapan Illahi..

Wahai wanita, ku ingatkan diriku dan dirimu, peliharalah diri dan jagalah kesucian.. semoga redha Allah akan sentiasa mengiringi dan memberkati perjalanan hidup ini.

Tuesday, February 15, 2011

sesuci kasih seorang isteri

(WAJIB BACA) 14 FEBRUARI? SAMBUT VALENTINE ? SESUCI KASIH SEORANG ISTERI - Dzie Tyea - Ada jawapan dan mesej untuk peminat novel..

Dahulu aku pernah juga bercinta dengan beberapa orang teman seuniversiti tetapi ketika itu aku hanya memikirkan soal seronok. Keluar berdua dan ada orang yang akan menelefon saban malam sebelum tifur. Juga menyambut hari kekasih dengan bertuakr-tukar hadiah dengan si dia yang kini membuat aku termalu dendiri apabila mendengar bicara Alishah, 14 februari lepas

"Isha sayangkan abang walaupun apa pun yang jadi.. tapi janganlah sebab abang nak tunjuk sayang abang tu, abang korbankan maruah agama kita. Valentine's Day bukan hari kita. Cukup dah macam-macam perayaan yang ada dalam islam.

Dialog novel ini dan dengan mesej yang jelas tentang sambutan Valentine cuba diterapkan dan disampaikan oleh penulis. Jelas sekali mesej yang ingin di sampaikan. Dapatkan novel SESUCI KASIH SEORANG ISTERI sekarang kerana banyak mesej-mesej yang menarik dan novel ini sememangnya menarik.


------------------------

SINOPSIS

Matanya yang galak itu ku renung. Indahnya ciptaan Tuhan yang satu ini. Pasti aku akan merinduinya di sana nanti. Sungguh aneh ikatan perasaan kami. Tidak pernah bercinta, tetapi dengan mudahnya saling menyayangi.

Dia bukan lelaki yang terbaik, dia sendiri mengakuinya namun entah mengapa Dia Yang Maha Kuasa sudi juga menganugerahkannya isteri semulia dan sesempurna Alishah. Sungguh dia bahagia didampingi bidadari dunia itu. Cintanya mendalam bersama janji setia hanya mahu bersama si dia hingga hujung nyawa namun takdir Tuhan siapalah yang tahu. Cintanya diuji dengan kehadiran insan ketiga yang langsung tidak pernah mendapat cintanya. Ya Allah Ya Rabb, dugaan apakah ini?

Isha,
Walau apa pun yang terjadi, cinta abang hanya untuk sayang. Ampunkan abang kerana menduakanmu. Sesungguhnya manusia cuma mampu merancang, Dia jualah menentukan segalanya.

Sofea,
Hadirmu bukan pintaku. Tolonglah, jelaskanlah segalanya padaku, mengapa kau sanggup memburu cintaku walau kita tidak pernah saling mengenal. Siapa aku sebenarnya padamu?

---------------------------------

Penulis : Dzie Tyea
Penerbit : Kaki Novel
Sem. Malaysia: RM19
Sabah / Sarawak: RM22

Sunday, February 13, 2011

Hukum Puasa pada 12 Rabi'ul Awwal

Soalan:
Apakah hari yang kita (disunatkan) puasa bersempena dengan maulud Nabi saw, jika hari itu bersamaan dengan hari Jumaat, apakah kita boleh berpuasa?
Jawapan:

Puasa sunat digalakkan dan tidak dikhususkan pada masa atau di tempat tertentu, selamamana tidak dilakukan pada hari yang diharamkan berpuasa seperti pada 2 hari raya, hari-hari Tasri’, hari Syak (berdasarkan perbezaan pendapat ulama tentangnya), dan yang dimakruhkan berpuasa seperti menunggalkan puasa pada hari jumaat dan sabtu.

Manakala hari yang digalakkan puasa ialah seperti hari-hari dalam bulan al-Muharram, dan dalam bulan-bulan yang haram, hari ‘Arafah, ‘Asyura, hari Isnin dan Khamis, tiga hari putih dalam setiap bulan iaitu 13, 14 dan 15 haribulan, 6 hari dalam bulan Syawal, kebanyakan hari dalam bulan Syaban seperti yang dilakukan oleh Nabi saw.

Akan tetapi tidak ada pada hari-hari yang disunatkan puasa ini, hari (yang dianggap) kelahiran Nabi saw yang telah menjadi kebiasaan manusia menyambutnya pada 12 Rabiulawwal, padanya tidak disunatkan puasa, ini disebabkan dua perkara:

1. Hari 12 Rabiulawwal itu tidak disepakati yang ianya adalah hari kelahiran Nabi saw. Kerana ada juga yang berpendapat baginda dilahirkan pada hari ke-9 bulan Rabiulawwal, ada juga yang berpendapat selainnya.

2. (Jika ia pada hari jumaat) Ia jatuh pada hari yang dimakruhkan menunggalkannya dengan berpuasa iaitulah hari Jumaat. Sahih di dalam al-Bukhari dan Muslim, adanya larangan melakukannya berdasarkan sabda Nabi saw: “Jangan seseorang kamu berpuasa pada hari Jumaat melainkan dia berpuasa sehari sebelum atau selepasnya juga.”

Kesimpulan: Hari 12 Rabiulawwal tidak ada padanya satu ibadah khusus bersempena dengan kelahiran Nabi saw, puasa pada hari ini tidak sebarang kelebihan yang lain berbanding puasa pada hari yang lain. Asas ibadah adalah mengikut Nabi saw, mencintai Nabi saw adalah dengan mengikut apa yang baginda datangkan seperti hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim: “Sesiapa yang membenci sunnah ku, maka dia bukan daripada ku.” Juga hadith yang diriwayatkan oleh Abu Ya’la dengan sanad yang Hasan: “Sesiapa yang mencintaiku, maka hendaklah dia bersunnah dengan sunnahku.”

Wallahu a’lam.

Thursday, February 10, 2011

PINANGLAH DAKU KERANA DAKWAH!


Perkahwinan Atau Baitul Muslim (BM) merupakan satu urusan besar.
Saya katakan, ianya URUSAN AMAT BESAR.
Saya tanya pada kamu, susah tak nak bina individu muslim?
Susahkan....?
Apatah lagi sebuah baitul dakwah (rumah dakwah). Ianya bukan sekadar sebuah akad nikah. Ianya adalah satu wasilah untuk urusan lebih besar dari itu. maka bersedialah dan berfikirlah sewajarnya akan hal ini. Berbicara tentang perkara ini amat berbeza sekali fenomenanya dikalangan ikhwah dan akhawat sendiri.
Berbual dengan suami saya sendiri mengenalkan saya akan kepelbagaian sikap-sikap ikhwah (rakan-rakan seperjuangan) mahupun saya sendiri mengenali banyak kisah-kisah akhawat yang ada.
Lain orang, lain ragam dan ceritanya.
Sebelum melangkah, mengambil keputusan dan memasang niat, jadilah perjalanan antum menuju anak tangga seterusnya, perjalanan yang terbaik sekali dari awal, sehinggalah pengakhirnya.
Di situ ada barakah, di situ ada kemanisan, di situ ada sebuah cerita yang layak diabadikan untuk dijadikan contoh buat anak-anak kita nanti. Kisah kita takkan sama dengan kisah ibu bapa kita dahulu.
Dakwah di zaman ini berbeza. Sikapnya pun berbeza. Maka penjagaannya begitu juga.
Sikap ikwah dalam menjaga ikhtilat (perhubungan lelaki dan perempuan) ini berbeza sekali. Ada yang sangat menjaga hingga tak memandang perempuan pun (ehem ehem), sehinggalah yang suka memandang akhawat untuk mencari calon pasangannya. Ada yang mahu menunggu hingga umur 30 tahun, mencukupkan keperluan serba serbi barulah nak dibina mahligai rumah tangga ini. Ada yang sedari belasan tahun sudah decide untuk bertunang demi berumah tangga.
Begitu juga naluri seorang akhawat berbeza sekali. Ada juga yang dah bersedia awal. Ada yang belum lagi. Dan saya nampak indahnya ikhwah akhawat ini kerana mereka tak memilih couple sebagai jalan penyelesaian dalam menyelamatkan perasaan. Mereka tetap memilih akad demi menyelamatkan perasaan mereka.
Banyak orang banyak kisahnya. Banyak contoh boleh didapati. Ada yang memberi contoh terbaik. Ada yang amat menjaga segala proses BMnya sehingga semua terkejut saat dia mengumumkan tarikh pernikahannya. Ada juga  yang sedikit longgar dalam urusan BMnya. Contact tanpa orang tengah dan sebagainya. Antum lihat, dan tanyalah hati antum apa yang terbaik mahu antum ikuti.
Kerana antum akan menjadi contoh pada anak binaan antum dan anak-anak antum sendiri. Jika antum  sendiri longgar, maka longgarlah anak binaan antum. Begitu juga anak-anak antum. Namun jika kita benar menjaga langkah-langkah kita semenjak awal, hingga akhirnya, itu akan menjadi contoh pada anak binaan kita.
Bukan itu sahaja, bagaimana penjagaan hati anda dengan Allah? Takkah anda malu cintamu pada Allah telah tercemar? Sebab ada juga yang bertunang lama, dan akhirnya membuka ruang untuk diri mereka bercouple tanpa disedari, bercinta tanpa sah. Ini adalah suatu virus yang akan melemahkan jiwa seorang akhi dan juga ukhti.
Melamar secara direct
Ada juga akhwat yang melamar ikhwah secara direct. Walaupun paling ramainya adalah ikhwah sendiri. Ada yang secara sms mahupun email.  Saya tersenyum terkadang menerima berita ini. Dan terkadang saya berfikir, takkan naqib ikhwah tersebut ataupun ikhwah lain tak memberikan contoh kepada ikhwah tersebut bahawa; sebelum melamar, rujuk dahulu naqibah akhawat tersebut.
Itu lebih gentleman, dan sejahtera untuk hati ikhwah dan akhawat tersebut.
Akhwat rasa sangat offended bila ikhwah melamar tanpa adanya kehadiran orang tengah. Walau beremel, biarlah ada orang tengah. Jika bersms, biarlah ada orang tengah mengetahuinya.
Suka itu penting dalam berbaitul Muslim, walaupun itu bukan satu syarat kerana perasaan itu boleh dibina. Ada yang dah berkenalan terlebih dahulu, ada mengenali lewat program ataupun emel.
Namun untuk memilih calon isteri itu, bukanlah memberi ruang untuk mata kita meliar mencari siapakah calon isteri kita.
Kerana kita berkahwin sendiri untuk menjaga hati kita. Agak ironi dan pelik, jika sebelum kahwin sendiri kita sudah tidak menjaga hati kita dan membenarkan syaitan-syaitan memasuki ruang hati kita.
Kerana itu, walaupun tidaklah semua cerita Baitul Muslim ini indah, namun pada kebanyakannya, jika proses itu dimulakan dengan perbincangan bersama nuqaba, outcomenya pasti indah samada positif mahupun negatif.
Kebanyakan akhwat yang merujuk saya apabila ada ikhwah melamar secara direct, outcomenya pasti sedikit mengecewakan ikhwah tersebut. Samada ditolak bulat-bulat, mahupun akan berlaku masalah di perjalanan.
Indahnya apabila dakwah menjadi sandaran kita.
Ada kata-kata dikalangan ikhwah yang mengatakan bahawa, kalau  kahwin dengan akhawat ini, confirm settle agama. So, sekarang kita kena carilah yang comel dan cantik pula.
Saya tergelak juga menerima kenyataan ini, sebab memang sisters sendiri beranggapan begitu. Ada kata-kata mengatakan:
' asalkan ikhwah sudah! tak kisahlah siapa pun dia!!'
Niat untuk kahwin sesama ikhwah akhawat itu sangat bagus. Dan itulah yang lebih utama. Tapi berkahwin ini melibatkan dua pasangan yang ada hati dan perasaan . Bukan nak kahwin dengan benda. Di situ ada nilai-nilai manusiawi. Manusia ada kelemahan - kelemahannya. Tak semua akhwat sama level dalam tarbiyah dan dakwah. Ada yang tak cukup muwasafatnya lagi. Ada yang lebih utama untuk dikahwini lebih dahulu berbanding lain.
Jika kamu letakkan dahulu citarasa diri kamu berbanding dakwah, adakah kamu ini wajar digelar rijal dakwah? Allah akan beri kamu yang terbaik. Jika kamu memilih pasangan kamu kerana Dia.
Sebab itulah nuqaba perlu disantuni dahulu. Ada yang bermasalah dengan nuqaba, maka santunilah orang tengah yang lebih ditsiqahi. Di situ orang tengah akan suba sedaya upaya menjaga ego seorang lelaki mahupun seganya seorang perempuan dalam proses ini. Pengenalan dalam pertunangan berlaku di bwah pandangan mata Allah, bukannya syahwat. Dan insyaallah kamu akan dikurniakan orang yang terbaik buatmu.
Saya tak tahu berapa ramai ikhwah yang baca artikel ini, namun ingin saya katakan pada mereka, pinanglah akhawat (rakan perempuan) kerana dakwah.
Jangan kaburinya dengan perasaan suka mahupun cinta pada sebuah keindahan wanita. Maknanya terkadang terkaburnya niat kita itu menjadikan istikharah kita tak menentu, mahupun kita tergopoh gapah dalam bertindak. Bila kita berkahwin kerana Allah, kita akan menjaga setiap langkah-langkah kita dalam berBM ini termasuk tempoh pertunangan itu sendiri yang banyak mengundang fitnah dalam hati ini.
Tempoh pengenalan sebelum berkahwin itu penting untuk melihat keserasian. Namun berkenalan selepas kahwin itulah terlebih indah serta manis. Setiap saat akan ditunggu demi mempelajari sifat baru pasangan kita.
Jagalah gentlemannya anda dengan tidak bertanya direct pada akhwat. Jangan malu untuk meminta bantuan orang tengah. Anda akan dihormati dan dikagumi oleh mana-mana akhwat pun. Jika mereka menolak, keegoan anda tidak terusik dan anda pasti akan dicarikan akhwat lainnya.
Untuk akhwat, keadaan diri kita berbeza. Satu ekstreme, ramai akhwat sudah meniti senja usia, menantikan pinangan ikwah yang mahu meminangnya kerana dakwah. Mungkin umur sudah beranjak, muka sendiri tak berapa comel. Sangat tangkas pula tu dalam dakwah menyebabkan ikhwah sedikit kecut untuk meminang. kita jelas dalam memilih ikhwah sebagai pasangan hidup kita kerana kita mahukan ketenangan hati dan kestabatan di atas jalan dakwah. Namun bagi ikhwah, keadaan mereka berbeza pula.
Jika ada orang soleh meminangmu, jangan menolak dahulu sebelum bersyura dengan orang yang bertanggungjawab ke atasmu (ini jika pinangan itu direct padamu). Walaupun cara itu salah dan tidak menghormati statusmu sebagai akhawat (rakan perempuan), namun di situ ada nilai ukhuwah yang perlu kita santuni pada ikhwah. Ada tarbiyah yang perlu kita ajarkan pada ikhwah dengan cara yang mudah dia terima tanpa merendahkan egonya.
Dahulu pernah ikhwah mengatakan akhwat kita ibarat warden penjara. Mereka tak tahu kita bertindak sedemikian kerana kita amat menjaga hati kita dengan Allah. Kita tahu kelembutan kita mesti mencairkan hati para ikhwah. Kerana itu kita tak mahu menjadi bahan fitnah.
Namun seluruh fikrah ini mengajarkan kita untuk berlemah lembut dengan manusia dan juga sentiasa mengajari manusia yang silap dengan cara yang terbaik. Maka bersyuralah. itu kuncinya.
Dan nak tahu something? Jika antunna sendiri berkenan untuk berkahwin dengan seorang ikhwah, jangan segan untuk bertanya naqibahmu. Itu bukan perigi mencari timba. itu usaha untuk menyelamatkan hatimu. Bila adanya orang tengah, takkan terasa segan dan malu. Orang tengah akan memainkan peranannya, walaupun prosesnya lambat.
Tidak semua yang melalui BM ini perfect.
Sepertimana orang yang kahwin selepas couple pun ada masalahnya, ada yang bercerai even. Begitu juga dengan BM. BM ini wasilah untuk kita dapat redha Allah, tapi kita pasti diuji. Fasa pengenalan pada awalnya sukar bagi dua insan yang langsung tidak pernah bercakap dan bertentang mata pun, namun disebalik itu ada kemanisan yang amat sukar diungkapkan.
Ianya amat manis, subhanalllah.
Tetapkan matlamatmu. Biar jelas. Biar terang.
Itulah dia kerana dakwah dahulu. Kerana Allah dan rasulNya dahulu.
Tak semua ikhwah perfect dan tak semua akhwat perfect. Carilah kesempurnaan itu betul-betul pada dakwah, baru yang lainnya. Allah akan cukupkan keperluanmu akhi wa ukhti, jika kamu memilih Allah sebelum yang lainnya insyaallah.
Jadilah moderate dalam prosesnya
Alhamdulillah, jika proses BM itu dimudahkan Allah. Berimbanglah. Berbincang itu perlu untuk menetapkan perkara-perkara yang penting di dalam kehidupan rumah tangga. tapi di situ jangan terlalu bermudah-mudahan dan menganggap bahawa tunangan kita itu milik kita dan kita boleh menyintai dia sesuka hati kita. Bila Allah sebagai sandaran, segalanya kelihatan dan dirasai rasional.

Wednesday, February 2, 2011

Delete 14 Februari Dalam Kalendar Minda Kita!


Apa istimewanya tanggal 14 Februari? Ia disambut dengan penuh kegembiraan oleh sebilangan besar rakyat dunia pada masa kini. Saban tahun, ramai tertunggu-tunggu akan tibanya tarikh tersebut. Kononnya ia adalah hari kekasih yang mana merupakan detik yang tepat buat pasangan yang hangat bercinta meluahkan rasa kasih dan cinta sesama mereka. Tidak kira dalam bentuk apa sekalipun, asalkan hasrat hati mereka tercapai.
Jika diperhatikan, budaya menyambut hari kekasih ini sudah mendapat tempat dan begitu popular dalam kalangan masyarakat kita termasuklah yang beragama Islam. Ia lebih tertumpu kepada golongan remaja biarpun ada dalam kalangan kita yang sudah berumahtangga sekalipun turut sama meraikan.
Menyimpang
Hari kekasih begitu sinonim dengan pemberian hadiah berupa coklat dan bunga mawar merah. Ia adalah lambang kasih sayang yang sangat istimewa yang diberikan. Bunga mawar dipersembahkan dalam hiasan dan balutan yang cantik manakala coklat pula disampaikan dengan bentuk dan kotak yang menarik sama ada berbentuk hati dan sebagainya. Tidak cukup dengan hadiah, ada yang meraikan dengan makan malam istimewa dan juga 'pembuktian' ketulusan cinta yang dibina. Walaupun ia jauh sekali menyimpang daripada budaya dan syariat umat Islam, namun kerana nafsu, ia dikira 'halal'.
Hari ini, umat Islam terpaksa berhadapan dengan pelbagai bentuk ancaman sama ada dari sudut budaya mahupun agama. Kita telah dijajah dari keseluruhan cara hidup, mentaliti, kelakuan dan juga amalan kerohanian yang sudah boleh dilihat adanya percampuran dengan unsur-unsur dari barat. Jadi, tidak hairanlah jika sambutan yang diraikan oleh golongan kristian turut sama disertai oleh umat Islam yang mudah terpengaruh.
Justeru, hari kekasih langsung tidak ada dalam sejarah Islam. Malah Islam sentiasa bersifat universal dan tidak dibatasi waktu, tempat,objek dan juga motif untuk menunjukkan kasih sayang. Hal ini sesuai dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, "Cintailah saudara se-Islam seperti kamu mencintai dirimu sendiri." (Riwayat Bukhari). Jadi ikutan siapakah hari kekasih ini? Apabila kita leka, kita secara tidak langsung akan meminggirkan suruhan agama dan lebih kepada mengikut hawa nafsu dan mencari keseronokan hidup. Tanpa kita sedar, rupanya kita menyambut hari pemujaan penganut kristian.
Asal-usul Hari Kekasih
Menurut catatan sejarah, pelbagai kisah yang diceritakan mengenai asal usul sambutan hari kekasih ini. Ada yang mengatakan, sebelum abad ke-17 masihi, masyarakat Rom meraikan Hari Valentine pada 14 Februari setiap tahun sebagai hari mencintai tuhan atau patung pujaan mereka. Manakala dalam penceritaan lain, hari kekasih ini diraikan oleh penganut Kristian yang memuja seorang paderi bernama St. Valentine dengan menganggap beliau seorang yang mulia kerana sanggup berkorban dan mati demi kasih sayangnya terhadap agama Kristian dan penganut-penganutnya. Walau apa pun, jelas sekali ia langsung tiada kaitan dengan hari kebesaran buat umat Islam untuk turut sama meraikannya.
Allah telah berpesan kepada hamba-Nya, amal buruk jangan dikerjakan tidak kira dalam apa jua bentuk kelakuan sekalipun tetapi manusia sering melakukan sebaliknya. Apa-apa yang dilarang, itulah yang dibuatnya. Sama ada disebabkan ceteknya ilmu agama atau kerana terlalu mengikut hawa nafsu, jawapannya ada pada diri sendiri. Yang pasti, sambutan hari kekasih sudah menjadi trend dan mereka yang tidak meraikannya dipandang kolot dan 'out dated'.
Hakikatnya, sifat manusia ini lemah. Mudah terpengaruh dengan anasir-anasir jahat yang sengaja ingin memusnahkan dan melemahkan pegangan umat Islam. Golongan yang tidak senang dengan kehebatan Islam cuba merosakkan budaya dan akidah walau dengan apa cara sekalipun. Jika kita perhatikan, sebelum tiba tarikh 14 Februari, sebilangan besar media massa di seluruh dunia berlumba-lumba menyiarkan tentang kemeriahan menyambut hari kekasih, pasaraya dan pusat membeli belah pula membuat promosi besar-besaran dari segi hiasan, potongan harga dan juga tayangan filem-filem cinta bagi membesarkan lagi sambutan hari kasih sayang ini.
Sebagai umat Islam yang diwajibkan patuh pada ajaran Islam dan berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah, tinggalkanlah perbuatan yang sia-sia ini. Ia bukanlah hiburan yang boleh mengembirakan hati kita malah memesongkan akidah. Kita wajar tahu yang beramal mengikut sesuatu yang bertentangan dengan suruhan Allah itu boleh menjejaskan akhlak, akidah dan juga keimanan kita terhadap Allah SWT.
Tiada istilah menyambutnya sekadar suka-suka. Keterlibatan kita dengan sambutan hari kekasih yang jelas khusus untuk golongan kristian sudah dikira salah malah jatuh kepada perkara haram kerana menggalakkan pasangan berdua-duaan dan menyalurkan rasa kasih sayang diluar batas syariat. Walau bagaimanapun, bagi yang sudah berkahwin, amat digalakkan berkasih sayang tetapi janganlah membesar-besarkan tarikh 14 Februari sebagai hari yang istimewa buat diri dan pasangan tetapi jadikan setiap hari adalah hari kekasih. Selain memperolehi kebahagiaan, kita juga diberi ganjaran pahala di atas amal kebaikan yang dilakukan setiap hari.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...